CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, May 31, 2008

Muhasabah Bersama..


Peringatan buat diri yang sering lupa........

Beruntunglah orang-orang yang berebut-rebut menagih ihsan dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya keredhaan Allah yang kita cari. Dunia yang semakin tua ini sering dilanda masalah, bermula daripada jerebu, kegawatan ekonomi, timbul pula gejala murtad... Fitnah..tsunami, peperangan, gempa bumi,banjir dan bermacam-macam lagi.

Ini sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita. Adakah kita benar-benar menginsafinya. Semua ini juga adalah bala!! Tanda kemurkaan Allah!! Adakah kita benar-benar seorang Islam???? Maka, adakah kita fikir bahawa kejayaan kita di Universiti dapat membawa kita ke Syurga?

Adakah kita fikir bahawa kejayaan kita adalah kerana usaha dan ikhtiar anda sendiri. Tidak malukah kita mengaku diri kita hebat, bijak, rajin ... walhal semuanya adalah kurnia Allah. Segala kelebihan yang ada pada kita adalah datangnya dari Allah. Apakah kita fikir Allah itu akan menyukai hambaNya yang tidak bersyukur.Adakah kita yakin kita seorang Islam???

Sedangkan Rabiatul Adawiyah tidak mahu melupakan Allah walau sedetik sekalipun. Hassan Al-Basri pula menangis sampai berjujuran airmata kerana menyesal melupai Allah dalam beberapa minit. Tetapi, mengapa kita masih leka di buai perasaan...

Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berzikir kepada Allah..
Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berselawat kepada Rasulullah...

Siapa diri kita sebenarnya!!!! Firaun???
Tentu tidak.. jadi, siapa kita sebenarnya, wahai manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina!!!! Apakah kita yakin kita bertuhankan Allah????

Maka, mengapa kita tidak mahu mengejar Dia...
Mengapa kita masih tidak mahu menuntut ilmu.
Syariat,Tariqat, Hakikat, dan Makrifat. Feqah dan Tasauf...
Dapatkah kita menghuraikan cabang-cabang ilmu tersebut.. Tidak malukah kita kerana gagal menghuraikannya, jauh dari mengamalkannya. Adakah kita harus mempersalahkan puak-puak kristian yang berjaya memurtadkan ribuan umat Islam jika kita sendiri gagal memperhebatkan pertahanan diri.

Ketahuilah... sesungguhnya Iblis itu amat suka kepada mereka yang tidak berilmu.. Sedarilah bahawa, kejahilan boleh menyebabkan dosa. Dosa!!!

Kita tidak takut dosa.Berapa banyak amalan kita yang boleh menghapuskan dosa seharian??? Apakah kita begitu yakin untuk menempuh akhirat???? Siapakah kita menjelang hari kematian? Adakah kita seorang Islam.

Bersediakah kita berhadapan dengan malaikat maut.
Apakah kita merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak ada daya untuk menjauhkan diri dari perbuatan mungkar.
Kita solat ... ** kita yakin solat kita tidak tercela?
Kita makan ... ** kita yakin rezeki yang kita jamah diredhai Allah?
Kita minum ... ** kita yakin di akhirat kelak kita akan dapat minum seperti yang kita minum sekarang?
Kita ketawa ... ** kita tidak malu pada Allah?
Kita berpuasa ** kita yakin puasa kita mulia sehingga dapat membela kita di hari akhirat?
Kita sihat ... ** kita yakin Allah muliakan kita?
Kita sakit ... ** kita tidak malu pada Allah kerana menarik balik nikmat kesihatan?

Siapa Kita????

Kita adalah manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina dina.. betapa hinanya kita... tapi, kita masih mampu tersenyum dan tertawa.

Bersedialah menempuh hari selepas kematian, bersedialah untuk menempuh sakaratul maut. Burulah cinta ALLAH, sebelum Allah menutup pintu rahmatnya.

Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang PASTI......!!!!

Siapa kita....????

Wallahu'alam

Thursday, May 29, 2008

Hakikat Perjalanan Hidup....................



Wahai Sahabatku,
Perjalanan ini adalah perjalanan 'ubudiyyah kita kepada Allah swt.
Kita perlu sentiasa bermuraqabah tentang adab-adab kita dengan Allah swt.
Allah tidak melihat amal kebajikan zahiriah semata-mata,
tetapi apa yang dilihat ialah
sejauh manakah sifat kehambaan kita kepada-Nya.

Justeru itu wahai sahabat-sahabatku,
kenali dirimu kepada asalmu yang tiada memiliki sesuatu,
hidupmu adalah diatas kasih sayang-Nya.
Ia menciptakan kamu dengan tujuan untuk sentiasa memuji-Nya
dengan penuh kecintaan dan kerendahan diri
hingga lahirlah pada dirimu kehinaan yang hakiki disisi-Nya.

Fahamilah,
Apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk
menuju hakikat kehambaan yang hakiki.
Apakah yang dimaksudkan kehambaan?
Iaitu dirimu yang fakir, dan orang yang fakir adalah
mereka yang tiada memiliki apa-apapun pada dirinya.

Jangan kamu terpedaya dengan ibadahmu
kerana ibadahmu belum tentu diterima-Nya,
jangan kamu terpedaya dengan ilmumu
kerana ilmumu
belum tentu dapat kamu amalkan,
jangan kamu terpedaya dengan duniamu dan apa yang kamu miliki
kerana ia adalah milik Tuhan
dan segala apa yang ada ditanganmu adalah diatas belas kasihan-Nya.

Sahabatku,
Kasihanilah dirimu
jika kamu diselaputi perasaan takabur,
ini bermakna kamu jahil dengan apa yang kamu lakukan.
Kejahilan akan mengheret kamu kepada kesesatan dan penyelewengan.
Allah tidak akan melihat kepada amal kamu
jika ia disertai perasaan takabur.

Walau pun kamu menyembah Allah
tapi hakikatnya kamu menentang Allah.
Seorang hamba ialah seorang yang tidak punya apa-apa.
Segala-galanya milik Allah.

Jadi mengapa harus merasa sombong dan takabur?
Sifat itu hanya layak bagi Allah,
ia adalah milik Allah sahaja,
siapa yang mengambilnya nescaya amat dimurkai Allah.

Ingatlah kamu adalah pengemis disisi Tuhan,
engkau mengemis belas kasihan-Nya,
dirimu kotor dan kelaparan.
Jadikanlah amal-amal kamu adalah tempurung untuk mengisi belas kasihan-Nya,
bukannya kamu berbangga dengan tempurungmu itu.
Itu adalah sifat orang yang jahil dengan Allah dan dirinya.
Tiada lain maksudmu,
hanya Allah menjadi tujuanmu.
Hatimu mestilah sentiasa bimbang akan kemurkaan Tuhan.

Dengan ilmu, kefahaman dan jalan yang kamu miliki,
ia adalah amanah Allah swt yang perlu disebarkan kepada manusia.
Setiap amanah akan dipersoalkan oleh Allah swt dari yang kecil hingga yang besar.

Tanamkan dirimu dalam tanah kerendahan
agar benih yang ditanam nanti subur dan memberi manfaat.
Begitu juga dengan dirimu,
sentiasa rendahkan hatimu
agar amal dan ilmumu memberi manfaat kepada jiwamu
sehingga engkau mencapai maqam hati orang-orang yang arif,
jiwa yang tenang dan merindui Tuhan.

Apabila engkau menghadap Tuhan,
jangan dihitung amal kamu
kerana amal adalah melambangkan khidmatmu pada Tuhan
sedangkan renungkan sebaik-baiknya,
adakah sudah tinggi khidmatmu jika hendak dibandingkan
Tuhan yang memberi khidmat pada dirimu.

Dia menjaga dirimu setiap masa,
perjalanan darah, kerdipan mata,
denyutan jantung, nafas yang keluar masuk
dan pelbagai lagi nikmat yang tidak terhitung.
Hitunglah kehinaan dirimu, maksiatmu dan kelalaianmu.

Jangan cemas jika kamu kurang amal untuk menghadap Allah swt
kerana merasa hina itulah sifat sejati seorang hamba
yang hanya mengharap rahmat kasih sayang dari Tuhan.

Jika ditanya, "Apakah amal kamu yang kamu bawa pada-Ku?,"
Katakan, "Tiada apa-apa wahai Tuhanku,
hanya sekeping hati yang cinta padamu,
sekeping hati yang merasa hina di sisi-Mu
dan sekeping hati yang sentiasa yakin dengan belas kasihan-Mu."

Peranan Muslimah Sebagai Daeiah







Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi.
Contoh yang dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam.

Saiyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat.Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud.

Dan, Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi di dalam rumahnya.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian dari gejala rawathib al jahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga rawathib al isti'mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di seluruh pelusuk dunia Islam.

Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan memperlekehkan kaum wanita.

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat.

Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti .

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti.

Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai da'wah.

Di dalam konteks da'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 tersebut adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan muslimah sebagai da'ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.

1. Marhalah Ta'rif
Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya.

Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi berusaha untuk:

1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan.

1.2) Melahirkan insan yg faham akan konsep Iman dan Islam yg menyeluruh sepertimana firman Allah azza wa jal:

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 208.

1.3) Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yg contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda'wah hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita lalui.


2. Marhalah Takwin
Setelah menjalani proses ta'rif, muslimah hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u (mereka yang dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi hendaklah memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) yang menyeluruh terhadap Islam, da'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat masuliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya.

Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al mutasaqitin (golongan yang gugur).

Dalam marhalah ini keujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nucleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek.

Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan besar untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.


3. Marhalah Tanfiz
Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan adalah:

3.1 Al Iman al 'amiq: Iman yang mendalam.

3.2. Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.

3.3. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana.

Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:

"Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.

Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah.

Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti perjuangan da'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan.

Pengorbanan dalam da'wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.

Penutup
Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih banyak dari kemampuan yang kita miliki,
maka dengan demikian hadith Rasulullah SAW: "Ilzim jama'tul muslimin wa imamahum"; Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah Islam dan Imam (pimpinan) mereka, adalah merupakan satu komitmen yang jelas mengajak kita semua untuk bersatu bersama jemaah.

Ikrar sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan harakah Islamiyyah.